Saturday, November 3, 2007

Tingkat risiko kanser perut

GASTRITIS bukanlah satu penyakit seperti mana salah tanggapan umum tetapi ia lebih merupakan satu kumpulan keadaan di mana kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu inflamasi di dalam lapisan perut anda.
Secara amnya, inflamasi terjadi akibat jangkitan bakterium yang sama dengan ulser perut. Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gastritis termasuklah kecederaan traumatik dan penggunaan pil penahan sakit secara kerap.


‘‘Walaupun terdapat banyak keadaan yang dikaitkan dengan gastritis, tanda-tanda penyakit ini adalah sama iaitu rasa perit di bahagian atas abdomen dan kadangkala kembung, sendawa, rasa mual atau muntah-muntah.
‘‘Dalam beberapa kes, gastritis boleh mengakibatkan ulser dan meninggikan risiko kanser perut. Bagi kebanyakan orang, gastritis tidaklah serius dan ia akan pulih dengan cepat apabila diberi rawatan,” demikian menurut Pakar Perunding Bedah dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Simptom-simptom
Tanda-tanda gastritis, yang kebanyakannya tidak begitu serius dan jangka masa ia berlaku juga agak pendek termasuklah rasa perit seakan terbakar atau rasa senak di bahagian atas abdomen yang sama ada akan menjadi bertambah teruk atau berkurangan apabila anda makan.
Lain-lain termasuklah rasa mual, muntah-muntah, hilang selera makan, sendawa atau kembung perut, rasa ketat di bahagian atas abdomen selepas makan serta, hilang berat badan.
Gastritis yang berlaku secara tiba-tiba (gastritis akut), kata Dr. Abd. Hamid, selalunya terjadi akibat kombinasi klasik antara rasa mual dan rasa sakit yang perit atau ketidakselesaan di bahagian atas abdomen.

‘‘Sementara itu, gastritis kronik yang merebak secara perlahan-lahan akan menyebabkan rasa kenyang atau hilang selera makan selepas beberapa suap makanan.
‘‘Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan orang, gastriris kronik ini tidak mendatangkan sebarang masalah. Kerapkali, gastritis boleh menyebabkan perdarahan di dalam perut tetapi ia jarang berlaku melainkan jika terdapat ulser di dalam lapisan perut anda.
‘‘Pendarahan di dalam perut akan menyebabkan anda muntah darah atau membuang najis yang hitam seakan tar di mana ia memerlukan penjagaan perubatan dengan segera,” ujar beliau.
Pelbagai punca gastritis

* Jangkitan bakteria. Majoriti penduduk dunia dijangkiti bakteria berbentuk cockscrew dikenali sebagai Helicobacter pylori (H.pylori) yang berkembang di dalam lapisan mukosa yang melapisi lapisan perut anda.
Walaupun tidak begitu jelas bagaimana bakteria merebak, ia barangkali disebarkan melalui laluan oral-fekal atau berjangkit melalui makanan atau air yang telah dicemari.
Jangkitan H.pylori kerap terjadi di kalangan kanak-kanak dan boleh berlanjutan sepanjang hayat jika tidak dirawat. Kini, ia telah dikenal pasti sebagai punca utama ulser perut yang boleh menyebabkan gastritis.

Dalam jangka panjang, jangkitan bakteria tersebut akan mengakibatkan pembengkakan yang banyak di mana ia akan menyebabkan perubahan di dalam lapisan perut anda. Salah satu daripada perubahan ini adalah gastritis atrofik di mana kelenjar yang menghasilkan asid dihancurkan secara perlahan-lahan.

Tahap penghasilan asid yang rendah akan menghalang toksin penyebab kanser dikeluarkan daripada perut anda, dan ini meninggikan risiko anda menghidap kanser perut.
Bagaimanapun, kebanyakan orang yang dijangkiti H.pylori kronik tidak menghidap kanser dan ramai yang tidak mempunyai simptom-simptom gastritis. Faktor-faktor lain yang akan membuat beberapa orang lebih cenderung dijangkiti bakteria tersebut.

* Penggunaan pil penahan sakit secara kerap. Ubat antiradang bukan steroid (NSAIDS) seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen boleh menyebabkan inflamasi perut dengan mengurangkan bahan yang memelihara lapisan perut yang bertindak sebagai pelindung (prostaglandin).
Masalah perut kurang didapati jika anda mengambil NSAIDS bila perlu sahaja, tetapi penggunaan secara kerap atau terlebih merupakan penyebab biasa gastritis dan ulser perut.
* Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh merengsa dan menghakis lapisan mukosa perut menyebabkan tisu-tisu perut anda lebih lemah untuk efek kaustik daripada rembesan perut yang normal.
* Penggunaan kokain boleh merosakkan perut anda, mengakibatkan perdarahan dan gastritis.
* Stres. Jika anda mengalami stres yang teruk disebabkan oleh surgeri utama, kecederaan traumatik, kesan terbakar atau jangkitan yang teruk juga boleh menyebabkan gastritis, ulser dan juga perdarahan di perut anda.
* Gangguan autoimun. Gastritis atrofik autoimun berkembang apabila sistem imun menyerang sel-sel yang sihat di dalam lapisan perut. Ini mencetuskan tindak balas inflamasi yang akan menipiskan lapisan, menghancurkan kelenjar yang menghasilkan asid dan mengganggu tubuh menyerap vitamin B-12 hingga menjejaskan hampir keseluruhan sistem anda.
* Penyakit Chron‘s. Walaupun penyakit bowel ini menyebabkan inflamasi yang kronik di dalam lapisan trek pencernaan anda, ada kalanya ia boleh membengkakkan lapisan perut juga. Apabila perut dijangkiti, simptom-simptom penyakit Chron‘s seperti sakit abdomen dan cirit-birit berair lebih jelas berbanding gejala-gejala gastritis.
* Radiasi dan kemoterapi. Rawatan kanser seperti kemoterapi dan radiasi akan menginflamasikan lapisan perut anda buat sementara tetapi jika terdedah kepada jumlah radiasi yang banyak akan menyebabkan penghakisan yang tidak dapat diubah lagi di dalam lapisan perut anda
* Penyakit refluks hempedu. Hempedu, sejenis cecair yang membantu proses penghadaman dihasilkan di dalam hati dan disimpan di dalam pundi hempedu. Apabila hempedu ini dibebaskan daripada pundi hempedu, ia akan bergerak ke usus kecil anda melalui satu siri tiub yang nipis.
Lazimnya, otot sfinkter yang berbentuk seakan cincin (injap pilorik) menghalang hempedu daripada mengalir semula ke dalam perut anda dari usus kecil. Tetapi, jika injap ini tidak berfungsi dengan betul, hempedu akan naik semula ke dalam perut anda, menjadikannya membengkak dan gastritis.

* Faktor-faktor lain. Gastritis juga mungkin dikaitkan dengan keadaan perubatan lain termasuklah HIV/AIDS, jangkitan parasitik, gangguan tisu perantara dan hati atau buah pinggang yang gagal berfungsi.

Bila perlu mendapatkan rawatan medikal
Dr. Abd. Hamid berkata, hampir kesemua orang telah mengalami sakit perut akibat makanan tidak dihadam dan iritasi dalam perut.
‘‘Kebanyakan kes sakit perut disebabkan makanan tidak dihadam adalah sekejap sahaja dan tidak memerlukan rawatan medikal.

‘‘Tetapi jika anda mengalami tanda- tanda dan simptom-simptom gastritis secara konsisten selama seminggu atau lebih, jumpalah doktor anda,’’ ujar beliau.
Pastikan anda memberitahu doktor anda jika ada mengalami sebarang masalah di dalam perut selepas mengambil mana-mana preskripsi atau ubat yang diperoleh dari kaunter, lebih-lebih lagi aspirin atau pil penahan sakit yang lain.

Saringan dan diagnosis
Walaupun doktor akan mengesyaki gastritis selepas berbincang dengan anda tentang sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan yang menyeluruh, anda mungkin juga perlu menjalani beberapa ujian untuk menentukan punca sebenar sakit itu. Ujian-ujian ini termasuklah:

* Ujian darah. Doktor anda mungkin akan melakukan ujian darah untuk memeriksa kehadiran antibodi H.pylori. Ujian darah juga akan memeriksa anaemia, yang mungkin terjadi akibat perdarahan di dalam perut yang berkaitan dengan gastritis.

* Ujian pernafasan untuk jangkitan H.pylori boleh memastikan sama ada anda telah dijangkiti bakteria H.pylori atau tidak.

* Endoskopi di bahagian atas gastrousus (GI). Prosedur ini membenarkan doktor anda melihat sebarang abnormaliti di bahagian atas trek GI yang mungkin tidak kelihatan di sinar-X.
Untuk ujian ini, doktor anda akan memasukkan satu tiub berlampu yang nipis dan fleksibel (endoskop) melalui mulut ke dalam esofagus, perut dan bahagian pertama usus kecil anda.

* Sinar-X dalam perut dan usus kecil memeriksa tanda-tanda gastritis dan masalah pencernaan yang lain. Ia dilakukan setelah anda menelan sejenis cecair (barium) yang akan melapisi dinding trek pencernaan anda, menunjukkannya dengan jelas di sinar-X yang diambil.

0 comments:

 

Powered by Blogger , created by © 2007 Feedget and Kelas-Blog